Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my
BAGI mengatasi masalah kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa, Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak-Anak Yatim Kuala Lumpur (Orphan Care) mewujudkan ruang khas bagi membolehkan ibu-ibu terdesak yang tidak inginkan bayi mereka meninggalkan bayi dengan selamat.
Ruang yang dikenali sebagai ‘pelindung bayi’ itu adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.
Bertemakan ‘Setiap Kanak-Kanak Memerlukan Sebuah Keluarga’, Orphan Care yang didaftarkan pada tahun 2008 dan dirasmikan pada tahun lalu bersedia membantu kanak-kanak yang dibuang mendapat perhatian dan kasih sayang.
Selain itu, Orphan Care juga membantu pasangan yang ingin mendapatkan anak angkat untuk memohon melalui laman web www.orphancare.org.my
Sepanjang tahun lalu, Orphan Care memberikan bantuan penjagaan kepada remaja yang hamil dan berjaya menempatkan tujuh bayi kepada keluarga angkat.
Langkah berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 200 permohonan diterima untuk mengambil bayi-bayi yang dibuang itu sebagai anak angkat pada masa kini.
Biarpun kempen Kami Prihatin dilancarkan sejak awal April lalu, kes pembuangan bayi terus dilaporkan hampir setiap hari. Semalam satu mayat bayi perempuan ditemui ditinggalkan di dalam sebuah kotak di perhentian bas di Johor Bahru.
Sebelum itu, mayat seorang bayi lelaki yang dibalut dengan kain lampin dan dipercayai baru dilahirkan ditemui ditanam berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa dekat Shah Alam.
Dua minggu lalu, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan teman lelakinya, 19, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka kerana menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dan mengebumikannya di tepi sebatang sungai dekat Taman Melaka Baru, Batu Berendam.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Faridah Khalid ketika dihubungi berkata, beliau menyokong langkah Orphan Care mewujudkan ruang khas bagi ibu-ibu yang tidak inginkan anak meninggalkan bayi mereka yang baru dilahirkan.
”Dalam menangani kes pembuangan bayi, kita memerlukan pelbagai pendekatan dan apa yang dilakukan oleh Orphan Care merupakan penyelesaian terakhir bagi membantu gadis-gadis yang terlanjur.
”Masyarakat tidak boleh menganggap tindakan Orphan Care sebagai menggalakkan gadis hamil tanpa nikah. Pendidikan dan kesedaran mengenai kesan negatif hamil luar nikah masih perlu dilaksanakan.
“Orphan Care menjadi tempat rujukan seandainya segala bentuk nasihat dan kesedaran gagal mendidik remaja tersebut untuk menjaga diri,” katanya.
Tambah Faridah, masyarakat tidak harus memandang negatif atau membantah usaha Orphan Care kerana tanpa pusat bantuan berkenaan masalah buang bayi dan yang terkini menanam mayat bayi tidak akan berkurangan apatah lagi berakhir.
”Tidak ada wanita mahu melahirkan bayi tanpa nikah atau tidak berayah. Apa yang berlaku adalah kerana gadis tersebut tersilap langkah, terpedaya, ditipu dan pelbagai faktor lain.
”Oleh itu, tempat seperti Orphan Care adalah perlu supaya gadis-gadis berkenaan tidak lagi terpaksa bersalin di dalam tandas lalu membuang bayi mereka dalam lubang tandas dan sebagainya,” jelas beliau.
Menurut Faridah, kewujudan pusat bantuan seperti Orphan Care tidak bermakna kempen kesedaran supaya golongan gadis menjaga kehormatan diri perlu dikurangkan. Pendidikan berkenaan tetap perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Beliau menambah, dalam proses pengambilan anak angkat, pihak yang berkuasa perlu memantau dan mengadakan lawatan ke rumah keluarga angkat bagi memastikan kanak-kanak yang dijadikan anak angkat itu dijaga dengan baik.
Sementara itu, Profesor Madya Mariani Md. Nor dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) berkata, langkah Orphan Care hanya menyelesaikan kesan daripada gejala seks luar nikah iaitu kes pembuangan bayi.
Namun punca berlakunya kehamilan luar nikah iaitu kurangnya kesedaran dan pendidikan agama di kalangan golongan remaja tidak dapat diatasi.
”Kewujudan pusat bantuan seperti Orphan Care dikhuatiri menjadikan remaja perempuan lebih berani dalam pergaulan dan tidak perlu takut jika hamil. Ini kerana mereka kini mempunyai tempat untuk melahirkan dan ‘melupuskan’ bayi mereka tanpa pengetahuan keluarga.
”Kebanyakan remaja perempuan yang hamil luar nikah berusia seawal 14 tahun dan kebarangkalian mereka untuk hamil lagi selepas meninggalkan bayi mereka yang pertama adalah sangat tinggi. Tidak mustahil seorang remaja perempuan boleh meninggalkan lebih daripada seorang bayi di pusat bantuan tersebut dengan cara ini,” jelasnya.
Tambah Mariani, apa yang penting adalah didikan keluarga mengenai nilai-nilai murni dan batas-batas dalam pergaulan untuk memastikan seks luar nikah dapat dibendung dalam masyarakat.
Langkah ini, tambah beliau, lebih berkesan kerana ia mengawal kes hamil luar nikah yang menjadi punca kepada peningkatan kes pembuangan bayi dalam masyarakat hari ini.
Tidak dinafikan usaha Orphan Care dalam menyelamatkan gadis-gadis yang buntu dan terdesak untuk melahirkan bayi dengan selamat serta memastikan bayi yang tidak berdosa untuk menikmati kehidupan dan kasih sayang daripada keluarga angkat adalah sangat murni.
Bagaimanapun, ia sebenarnya tidak menyelesaikan punca masalah pembuangan bayi iaitu seks luar nikah.
Malah bantuan yang dihulurkan oleh Orphan Care boleh meningkatkan gejala berkenaan kerana golongan remaja akan menganggap rumah perlindungan itu sebagai tempat paling mudah untuk ‘membuang’ bayi yang mereka tidak inginkan.
UtusanOnline—Jangan pandang negatif langkah Orphan Care
— Category under Malay News. There's No Comments.